China lancar mekanisme sekat syarikat asing

SHANGHAI, 20 SEPT – China melancarkan mekanisme baharu membolehkan republik itu menyekat syarikat asing, secara tidak langsung meningkatkan lagi ketegangan dalam perang teknologi dengan Amerika Syarikat (AS).

Tindakan itu dilakukan sehari selepas Washington mengarahkan penggunaan dua aplikasi sosial media milik syarikat China, TikTok dan WeChat, disekat di AS. Kementerian Perdagangan China, dalam satu pengumuman, bagaimanapun tidak memaklumkan mana-mana entiti asing khusus yang menjadi sasaran mereka.

“Sistem baharu ini akan mempertimbangkan sekatan terhadap kegiatan syarikat atau entiti yang mengancam kedaulatan, keamanan dan kepentingan pembangunan China selain melanggar peraturan ekonomi serta perdagangan antarabangsa. Tindakan punitif itu merangkumi denda terhadap syarikat asing, melarangnya melakukan perdagangan dan pelaburan di China serta sekatan daripada memasuki republik ini,” katanya. Menurut kementerian itu lagi, tindakan terbabit merangkumi syarikat asing, pertubuhan dan individu.

Mekanisme China itu dilihat sebagai senjata dan serangan balas terhadap AS yang menutup syarikat telekomunikasi gergasi China, Huawei daripada pasaran negara itu selain menyekat TikTok dan WeChat.

TikTok adalah aplikasi video yang popular terutama dalam kalangan golongan muda, dengan lebih 100 juta pengguna di AS. – AFP