China lancar roket baharu

BEIJING, 5 MEI – China berkata hari ini ia akan melancarkan roket baharu pada pukul 6 petang, dalam ujian cita-citanya untuk mengendali stesen angkasa lepas tetap serta menghantar angkasawan ke bulan.

Sebuah pengangkut roket besar, Long March 5B, dijangka berlepas dari tapak pelancaran Wenchang di selatan pulau Hainan, kata Agensi Angkasa Lepas China dalam satu kenyataan.

Roket itu dijangka membawa kapal angkasa lepas generasi akan datang yang sepatutnya membawa angkasawan ke stesen angkasa lepas yang dirancang siap pembinaannya pada 2022, dan seterusnya ke bulan.

Kapal prototaip, dicipta untuk mengelilingi orbit Bumi dan penjelajahan angkasa lepas, mempunyai ruang yang cukup untuk enam angkasawan, berbanding dengan tiga tempat duduk dalam model sebelumnya.

“Misi itu akan menguji teknologi utama kapal angkasa lepas baharu seperti kawalan kemasukan semula ke atmosfera, pelindung haba dan teknologi pemulihan,” Yang Qing, pereka angkasa lepas dengan Akademi Teknologi Angkasa Lepas China, dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Xinhua pada Mac.

Amerika Syarikat (AS) setakat ini merupakan satu-satunya negara yang berjaya menghantar manusia ke bulan.

Namun Beijing telah mencatat kemajuan besar dalam usahanya untuk menyaingi program angkasa lepas AS, menghantar angkasawan ke angkasa lepas, satelit ke orbit dan kapal perayau ke bulan.

Kejayaan penerbangan Long March 5B akan memberi jaminan kepada China, berikutan kegagalan model 7A pada Mac dan model 3B pada April. – AFP

Roket Long March 5B berlepas dari tapak pelancaran Wenchang di selatan pulau Hainan, China, kelmarin. – AFP