TAIPEI, 6 OGOS – China hari ini telah melancarkan roket yang membawa 18 satelit, sebagai usaha mengukuhkan lagi kehadirannya dalam bidang angkasa lepas.
Satelit-satelit tersebut dibawa oleh roket Long March-6 dari Pusat Pelancaran Satelit Taiyuan di Wilayah Shanxi, utara China, pada petang tadi waktu tempatan.
Menurut agensi berita rasmi Xinhua, roket tersebut telah sampai ke orbit yang telah dirancang tanpa sebarang insiden.
Program angkasa lepas China telah melancarkan banyak misi kru, mendirikan stesen angkasa dalam orbit dengan kru tiga angkasawan secara bergilir-gilir, serta menghantar kapal rover ke Bulan yang membawa balik sampel batu dan tanah.
China juga telah melancarkan Sistem Beidou yang terdiri daripada beberapa satelit untuk tujuan keselamatan negara, komunikasi dan sains, yang dilihat sebagai alternatif – atau pesaing – kepada sistem GPS yang digunakan sebagai pengemudian dan dikendalikan oleh Amerika Syarikat, pesaing China. – AP