China lanjutkan tarif gentian optik India

BEIJING, 13 OGOS – Kementerian Perdagangan China berkata hari ini ia telah melanjutkan tarif ke atas produk gentian optik India selama lima tahun.

Pengumuman itu menyusuli kajian semula selama setahun selepas tarif sebelumnya luput tempohnya pada 2019. Ia berkuat kuasa pada 14 Ogos.

Masih tidak jelas sama ada tindakan itu mempunyai kaitan dengan ketegangan yang tercetus baru-baru ini di antara negara gergasi Asia berhubung dengan perbalahan sempadan yang berubah menjadi ganas, membawa kepada kematian 20 tentera India.

Tarif ke atas gentian optik berjumlah di antara 7.4 peratus hingga 30.6 peratus dan pertama dikenakan pada Ogos 2014.

Gentian optik digunakan dalam rangkaian telekomunikasi.

Pada awal bulan ini, India mengekalkan tarif ke atas produk tenaga solar buatan China yang dikenakan untuk melindungi pengeluarnya sendiri. – AP