China larang import ayam AS, gesa kilang pepsi ditutup

BEIJING 21 JUN – China melarang pengimportan dari pengeluar ternakan unggas Amerika Syarikat (AS) dan mengarahkan kilang Pepsi Beijing ditutup hari ini tatkala pihak berkuasa mengehadkan pengeluaran dan pengedaran makanan di tengah-tengah kluster koronavirus baharu di ibu negara.

Import ayam beku dari Tyson Foods telah ‘ditangguhkan sementara’, kata Pentadbiran Umum Kastam selepas wabak virus ditemui di salah sebuah kemudahan pengeluaran syarikat itu di AS.

Produk dari firma yang sudah tiba di China akan disita, menurut kenyataan itu. Syarikat gergasi makanan dan minuman AS, Pepsico juga diarahkan untuk menutup salah sebuah kilang pembuatan makanan ringan di Beijing setelah beberapa orang pekerja diuji positif, kata jurucakap firma, Fan Zhimin.

Dia menambah bahawa 87 orang kontak rapat telah dikesan dan sedang menjalani perintah kuarantin.

Lebih daripada 220 orang setakat ini diuji positif dari kluster baharu Beijing yang dikesan dari papan pemotong yang digunakan untuk memproses salmon import di pasar Xinfadi di bandar ini.

Pasar yang membekalkan lebih daripada 70 peratus produk segar Beijing telah ditutup, dengan para pegawai Jumaat lalu menasihatkan penduduk untuk membuang makanan laut beku dan produk kacang yang dibeli di sana.

Pegawai mengumumkan Jumaat lalu kempen di seluruh negara untuk memeriksa produk segar yang berasal dari ‘negara berisiko tinggi’ berikutan laporan kumpulan virus baharu di kilang Jerman dan AS.

Pihak berkuasa menyasarkan mereka yang bekerja di restoran, pasar raya, pasar dan penghantar makanan untuk diuji, menurut Gao Xiaojun, Suruhanjaya Perbandaran Beijing.

Berpuluh-puluh komuniti juga telah diarahkan untuk melakukan perintah berkurung di kota bagi membendung penularan, dengan penduduk diarahkan untuk mengelak daripada membuat perjalanan kurang penting dan sekolah ditutup. – AFP

Sebuah trak Tyson Foods meninggalkan kilang di Perry, Iowa. China melarang pengimportan dari pengeluar ternakan unggas Amerika Syarikat dan memerintahkan kilang Pepsi Beijing ditutup. – AP