China lengkap vaksinasi 1 bilion penduduk

BEIJING, 16 SEPT – China telah selesai menginokulasi lebih satu bilion penduduknya atau 71 peratus daripada penduduk negara itu bagi memerangi wabak COVID-19.

Negara lokasi pertama pengesanan koronavirus itu sudah berjaya mengekang penularan jangkitan namun sedang menggiatkan suntikan vaksin ke atas penduduknya selepas varian baharu dikesan di tenggara negara itu.

Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Mi Feng pada sidang media harian berkata, setakat 15 September, sebanyak 2.16 bilion dos vaksin sudah diberikan di seluruh negara.

Hujung bulan lalu, pihak berkuasa kesihatan China mengatakan sejumlah 890 juta orang di China sudah pun di-inokulasi sepenuhnya dengan suntikan dua bilion dos vaksin.

China tidak menetapkan sasaran dalam program itu, namun pakar virologi terkenal, Zhong Nanshan, bulan lalu berkata sekitar 80 peratus penduduk akan diinokulasi akhir tahun ini, sekali gus mencapai imuniti kelompok.

Anggota bomba menyembur disinfektan di Stesen Kereta Api Yangzhou East di wilayah Jiangsu, China, 16 September. China kini sedang memerangi varian Delta di tenggara negara itu ketika inokulasinya mencecah 1 bilion orang. –AFP

Negara itu ketika ini bagaimanapun berdepan penularan varian Delta di wilayah tenggara Fujian, yang menjangkiti sekurang-kurangnya 200 orang di tiga bandar dan berpuluh-puluh daripadanya adalah kanak-kanak sekolah.

Kluster Fujian menjadi jumlah terbesar sejak beberapa minggu ini dan ia muncul selepas negara itu mengisytiharkan varian Delta berjaya dikawal.

China melaporkan 49 kes domestik baharu hari ini, kebanyakannya di Fujian.

Walaupun sudah melaksanakan kempen vaksinasi dalam kalangan penduduk muda berusia 12 hingga 17 tahun Julai lalu, kebanyakan kanak-kanak masih belum divaksin dan ia menimbulkan ketakutan jangkitan di Fujian akan menjangkiti golongan rentan.

Pihak berkuasa kini berusaha menyekat penularan itu dengan melaksanakan perintah berkurung bersasar, larangan perjalanan, saringan besar-besaran dan penutupan sekolah sebelum cuti umum 1 Oktober, yang juga musim percutian popular. – AFP