China longgar sekatan perjalanan masuk warga Eropah

BEIJING, 12 OGOS – China telah melonggarkan sekatan masuk untuk warganegara dari 36 negara Eropah, beberapa bulan setelah ribuan orang tersekat ketika negara itu menutup sempadannya dan penerbangannya untuk mengekang penularan COVID-19.

Hampir semua warganegara asing dilarang memasuki negara itu ketika Beijing mengenakan tindakan sekatan pada bulan Mac lalu, walaupun mereka yang memiliki pas kerja atau warganegara tetap atau keluarga yang tinggal di negara itu. Tetapi minggu ini China mengatakan akan melonggarkan beberapa syarat birokrasi bagi warga Eropah yang berharap dapat masuk semula.

Peraturan baharu akan membolehkan pemegang pasport Eropah dari 36 negara termasuk Perancis, Jerman dan UK de-ngan pas permit yang sah untuk memohon visa China tanpa surat jemputan, menurut notis kedutaan China di Berlin yang dikeluarkan hari ini. Setiap orang yang kembali ke China harus mengajukan permohonan visa semula, kerana dokumen perjalanan yang dikeluarkan sebelum wabak tersebut dibatalkan.

Sebelum ini, China hanya membenarkan sebilangan kecil pekerja asing untuk kembali dengan surat jemputan rasmi khas, suatu proses yang lambat. Kementerian luar negeri China mengatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini bahawa pemegang pasport Eropah yang memenuhi syarat sekarang akan dibenarkan memohon visa China secara percuma.

Sesiapa yang datang dari luar negara masih menjalani ujian COVID-19 dan kuarantin 14 hari dan masih perlu mencari tiket penerbangan, setelah Beijing memerintahkan pengurangan penerbangan antarabangsa secara drastik pada akhir bulan Mac dan harga melambung tinggi.

Sebilangan kuota penerbangan yang ketat ini juga ditarik balik, dengan Air France dibenarkan mengendalikan tiga penerbangan mingguan antara China dan Perancis bermula akhir bulan Ogos. – AFP

China melonggarkan sekatan masuk 36 warganegara Eropah, setelah beberapa bulan negara itu menutup sempadannya dan penerbangannya untuk mengekang penularan COVID-19. – AFP