China mahu bersama ASEAN promosi kedamaian serantau, sedunia

SINGAPURA, 21 OGOS – China sedia berganding bahu dengan Singapura dan negara ASEAN lain untuk mempromosikan kedamaian, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran serantau serta global.

Menurut petikan dari laman Berita Harian online, hasrat itu disuarakan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat Biro Politik Parti Komunis China (CPC), Yang Jiechi, ketika mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, di Istana Singapura, baru-baru ini.

Beliau yang juga pengarah Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Jawatankuasa Pusat CPC, berkata penyebaran pandemik COVID-19 memberi petunjuk jelas bahawa akhirnya manusia akan berkongsi takdir yang sama.

“Ini memberi kesedaran bahawa kita memerlukan pendekatan baharu dalam menangani ketidakstabilan dan ketidakpastian suasana geopolitik antarabangsa.

“Justeru, China sedia bekerjasama dengan Singapura dan negara ASEAN lain bagi mengukuhkan strategi kepercayaan bersama dan kerjasama praktikal untuk menghadapi globalisasi ekonomi serta keadilan peringkat antarabangsa.

“Berikutan 2020 adalah ulang tahun ke-30 jalinan diplomatik China-Singapura, maka hubungan dua negara ini berada pada titik permulaan sejarah baharu, “ katanya, yang dipetik agensi berita Xinhua.

Sementara itu, Hsien Loong berpendapat pandemik COVID-19 memerlukan lebih banyak usaha berbanding sebelum ini, di mana setiap negara harus bekerjasama dan berhubungan antara satu sama lain secara rasional.

Beliau berkata, Singapura akan memanfaatkan mekanisme kerjasama dua hala sedia ada dengan China bagi mendorong hubungan ASEAN-China, sekali gus memacu pemulihan ekonomi serantau dan global.

Yang memulakan lawatan dua hari ke Singapura kelmarin serta turut menemui Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras Dasar Ekonomi dan Menteri Kewangan Singapura, Heng Swee Keat.

Dalam hantaran di Facebook malam tadi, Swee Keat turut meluahkan harapan supaya ‘laluan pantas’ China-Singapura dalam urusan perniagaan penting dan perjalanan rasmi diperluaskan sekiranya pandemik COVID-19 berjaya dikawal. – Agensi