China mulakan inokluasi kanak-kanak berusia seawal 3 tahun

TAIPEI, 25 OKT – Kanak-kanak berusia seawal 3 tahun akan mula menerima vaksin COVID-19 di China, di mana 76 peratus populasinya sudah pun menerima vaksinasi lengkap dan pihak berkuasa berusaha mengekalkan dasar sifar toleransi terhadap penularan wabak.

Majlis perbandaran dan wilayah kerajaan di sekurang-kurangnya lima wilayah sudah mengeluarkan notis dalam masa beberapa hari kebelakangan ini mengenai pengumuman bahawa kanak-kanak berusia 3 hingga 11 tahun perlu mendapatkan vaksinasi.

Peluasan kempen vaksinasi berlaku ketika sebahagian besar wilayah China mengambil langkah sekatan baharu bagi membasmi penularan kecil. Di Gansu, sebuah wilayah barat daya yang amat bergantung kepada pelancongan, menutup kawasan pelancongan hari ini selepas mengesan kes-kes baharu COVID-19. Penduduk di Inner Mongolia pula diarahkan duduk di rumah kerana penularan di sana.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan melaporkan 35 kes baharu jangkitan tempatan yang dikesan dalam masa 24 jam lalu, empat daripadanya di Gansu. Sebanyak 19 lagi kes dikesan di kawasan Inner Mongolia, dengan yang lainnya di beberapa kawasan lagi.

China sudah pun melaksanakan perintah berkurung, kuarantin dan ujian calitan wajib bagi membasmi virus sepanjang pandemik dan sudah pun menghapuskan kes jangkitan tempatan serta memvaksin penuh sejumlah 1.07 bilion daripada 1.4 bilion populasinya.

Kerajaan khususnya amat bimbang penularan varian mudah berjangkit, Delta oleh pelancong dan mahu memvaksin lebih ramai penduduk menjelang Olimpik Beijing pada Februari. Penonton luar negara sudah pun dilarang daripada sukan itu dan peserta perlu kekal dalam gelembung sukan bagi memisahkan mereka daripada orang luar.

Vaksin China yang paling banyak digunakan, dari Sinopharm dan Sinovac, menunjukkan keberkesanan mencegah penyakit teruk dan jangkitan virus, berdasarkan data awam. – AP