China nafi uji peluru berpandu hipersonik

BEIJING, 18 OKT – China hari ini menafikan laporan yang menyatakan mereka melancarkan peluru berpandu hipersonik baru-baru ini, dan mengatakan mereka hanya menguji kapal angkasa untuk percubaan teknologi yang boleh digunakan semula.

Menurut laporan The Financial Times (FT) pada Sabtu bahawa Beijing melancarkan peluru berpandu berkeupayaan nuklear pada Ogos yang mengelilingi Bumi sebelum terlepas sasarannya. Sumber FT berkata peluru berpandu hipersonik dilancarkan oleh roket Long March dan ujian dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Namun China berkata hari ini laporan tersebut tidak tepat dan latihan yang dijalankan adalah untuk menguji teknologi untuk kapal angkasa yang boleh digunakan semula bagi mengurangkan kos pelancaran kapal angkasa.

‘’Menurut kefahaman kami, ujian adalah rutin kapal angkasa, digunakan untuk teknologi kapal angkasa yang boleh digunakan semula,’’ menurut jurucakap kementerian luar, Zhao Lijian memberitahu wartawan. ‘’Ini mungkin boleh menjadi cara yang senang dan murah bagi manusia untuk menggunakan ruang bagi kegunaan yang aman.’’

Apabila ditanya sekiranya laporan FT adalah tidak tepat mengenai peluru berpandu, Zhao menjawab ‘Ya’.

Sama seperti China, Amerika Syarikat, Rusia dan sekurang-kurangnya lima buah negara lain berusaha membangunkan teknologi hipersonik.

Peluru berpandu hipersonik mampu terbang lima kali ganda dari kelajuan bunyi dan sama seperti peluru balistik ia mampu membawa senjata nuklear.

Negara-negara lain termasuk AS telah membangunkan sistem pertahanan ke atas peluru berpandu kapal perang dan balistik, tetapi kemampuannya untuk menjejak dan memintas peluru berpandu hipersonik masih menjadi persoalan. – AFP

Gambar fail diambil pada 29 September menunjukkan seorang pelawat mengambil gambar replika roket angkasa lepas di Zhuhai. China menafikan menjalankan ujian peluru berpandu hipersonik dan menyatakan ia adalah ujian kapal angkasa yang boleh dikitar semula. – AP