China, Nepal meterai perjanjian

KATHMANDU, 13 OKT – Nepal dan China menandatangani 20 perjanjian hari ini, termasuk satu mengenai sistem kereta api rentas Himalaya, tatkala Presiden China Xi Jinping mengakhiri lawatan dua hari ke negara Himalaya itu.

Selepas rundingan di Kathmandu, Xi dan Perdana Menteri Nepal K.P. Sharma Oli menyaksikan pemeteraian 18 perjanjian dan dua surat tukaran dalam bidang kesalinghubungan, keselamatan, pengurusan sempadan, perdagangan, pelancongan dan pendidikan.

Xi, yang tiba semalam dari India setelah bertemu Perdana Menteri India Narendra Modi, menjadi presiden China pertama dalam lebih dua dekad untuk melawat Nepal.

Salah satu perjanjian termasuk pemahaman untuk memulakan kajian pelaksanaan projek kereta api rentas sempadan China-Nepal

yang sedang dipertimbangkan di bawah projek yang menjadi komponen utama Inisiatif Jalur dan Laluan China.

China berusaha melanjutkan landasan kereta api Qinghai-Tibet ke Keirung, bandar sempadan kurang daripada 35 kilometer dari Nepal, menjelang tahun 2020. Kathmandu, ibu negara Nepal, terletak kira-kira 70 kilometer dari sempadan.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Nepal tidak menyebut perjanjian ekstradisi yang dijangka dibincangkan dalam mesyuarat. – AFP