China, Norway runding perjanjian perdagangan bebas

OSLO, 28 OGOS – Menteri luar China semalam berusaha mencapai perjanjian perdagangan bebas dengan Norway tetapi mengingatkan Oslo supaya jangan ‘mempolitikkan’ Nobel dengan menganugerahi Hadiah Keamanan kepada penentang China.

Rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas bermula pada 2008, tetapi hubungan di antara Oslo dan Beijing menjadi dingin dari 2010 hingga 2016 selepas Jawatankuasa Nobel Norway menganugerahi Hadiah Keamanan Nobel kepada seorang penentang China, Liu Xiabao.Rundingan diteruskan pada 2017.

“Berikutan impak COVID-19, penyelesaian rundingan FTA China-Norway adalah amat penting kepada hubungan dua hala ekonomi dan perniagaan serta usaha untuk mengekalkan rantaian bekalan global sentiasa dibuka,” beritahu Menteri Luar China Wang Yi kepada wartawan semasa satu lawatan ke Oslo sebagai sebahagian daripada kunjungan Eropah.

“Kedua-dua pihak perlu mempercepatkan rundingan dan mencapai satu kata sepakat,” kata beliau. Namun menteri mengingatkan supaya jangan ‘campur tangan’ apabila ditanya mengenai cadangan yang dikemukakan oleh penggubal undang-undang Norway untuk mencalonkan penduduk Hong Kong untuk anugerah Nobel tersebut.

“Sebelum ini dan hari ini, pada masa depan, China akan menolak sebarang percubaan oleh sesiapa yang menggunakan Hadiah Keamanan Nobel untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman China. Dasar China ini tidak akan berubah dan kami tidak mahu melihat sesiapa mempolitikkan Hadiah Keamanan Nobel,” kata Wang. – AFP

Menteri Luar China Wang Yi (kiri) bertemu dengan Menteri Luar Norway Ine Eriksen Soreide semasa lawatan ke Norway pada 27 Ogos 2020 di Oslo. – AFP