China pamer vaksin penawar koronavirus

BEIJING, 7 SEPT – China kini buat pertama kalinya telah memperlihatkan vaksin koronavirusnya selepas negara itu berjaya mencari penawar yang kelihatannya dapat membendung pandemik yang menjejaskan dunia.

Cecair di dalam botol kecil yang didedahkan di Pameran Antarabangsa Beijing itu minggu ini – memberi harapan yang tinggi – antara beberapa lagi vaksin yang kini dihasilkan oleh sebuah lagi syarikat China, Sinovac Biotech dan Sinopharm. Meskipun belum ada vaksin yang berjaya, tetapi pembuatnya berharap vaksin itu akan disahkan selepas semua tiga fasa percubaan dilakukan menjelang akhir tahun ini.

Seorang wakil Sinovac memberitahu AFP bahawa syarikatnya telah ‘menyiapkan pembinaan kilang vaksin’ yang mampu menghasilkan 300 juta dos setahun. Penduduk tempatan yang berada di pameran tersebut kelmarin telah mengerumuni petak pameran itu untuk melihat lebih dekat kemampuan vaksin tersebut.

China yang berdepan kritikan berhubung pengendalian awalnya ke atas pandemik telah cuba untuk mengubah semula kisah COVID-19.

Media dan pegawai kerajaan kini menekankan pemulihan Wuhan, bandar pusat China tempat patogen maut muncul, sebagai kisah kejayaan dalam memerangi virus.

Vaksin Sinovac Biotech LTD dipamerkan di Pameran Antarabangsa China di Beijing pada 6 September. – AFP

Mereka juga menganggap kemajuan vaksin domestik itu sebagai tanda kepimpinan dan kedayatahanan penduduk Cina ketika berdepan ancaman kesihatan yang tidak pernah berlaku dahulu dan menjejaskan ekonomi global.

Pada Mei lalu, Presiden Xi Jinping berjanji untuk menjadikan setiap vaksin yang berpotensi dikembangkan oleh China satu ‘kebaikan awam global’.

Potensi vaksin yang dipamerkan adalah antara hampir 10 vaksin di seluruh dunia yang memasuki percubaan fasa 3, sebelum persetujuan dicapai, ketika negara-negara berlumba-lumba untuk memerangi virus dan menghidupkan kembali ekonomi yang terjejas.

Tabloid Kebangsaan China Global Times melaporkan bulan lalu bahawa harga vaksin tidak terlalu tinggi.

Setiap dua dos berharga di bawah 1,000 yuan (AS$146), kata laporan itu, memetik pengerusi Sinopharm, yang mengatakan kepada media bahawa dia sudah disuntik dengan salah satu vaksin yang diuji. – AFP