China pertimbang e-sukan sebagai kerjaya

JINAN, 29 Jan – Para penggemar e-sukan yang berusaha menjadikan minat mereka sebagai kerjaya tidak lama lagi akan mendapat banyak laluan terbuka ketika China sedang memikirkan kaedah untuk mengiktiraf acara e-sukan dan pemain sebagai kerjaya baharu mereka.

Pada keseluruhannya, 15 kerjaya baharu termasuk pemain e-sukan, jurutera kecerdasan buatan (AI), jurutera data utama dan juruterbang dron disenaraikan dalam kemasukan am, yang akan berakhir hujung bulan ini, menurut kenyataan dari Pusat Arahan Latihan Teknikal Pekerjaan China.

Kenyataan itu berkata senarai awal dibuat berdasarkan proses pemilihan yang dijalankan di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia dan Keselamatan Sosial, China.

Senarai tersebut tular di media sosial dengan orang ramai memikirkan ia memberi pewajaran kepada e-sukan dan sebahagian berkata mereka kini mahu bermain permainan video dengan menjadikannya sebagai sumber pendapatan.

Tetapi sebahagian mereka menyedari bahawa perbezaan perlu digariskan di antara peminat dan pemain profesional e-sukan.

“Difahamkan pemain e-sukan dimasukkan dalam senarai awal, tetapi mereka yang berada dalam kategori ini menghendaki seorang pemain profesional berbanding hanya peminat permainan video,” kata Yang Laosi menerusi laman sesawang Weibo.

Pertumbuhan pantas sektor e-sukan menarik banyak perhatian, tetapi kebanyakannya berasa bimbang berhubung kesan ketagihan permainan ke atas anak-anak muda.

Sebagai tambahan, penyertaan e-sukan sebagai acara merebut pingat dalam Olimpik adalah tidak pasti, memandangkan e-sukan secara meluas digambarkan menjadi pemacu komersial dan bertentangan dengan nilai-nilai Olimpik.

Namun, sekitar enam acara e-sukan akan diadakan bagi merebut pingat pada Sukan Asia Tenggara ke-30 yang akan diadakan di Filipina hujung tahun ini. E-sukan kali pertama disenaraikan dalam Sukan Asia pada 2018 sebagai sukan demonstrasi dan akan dijadikan acara utama pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China. – Xinhua