China rampas 89 juta penutup hidung dan mulut tidak berkualiti

BEIJING, 26 APRIL – China telah merampas 89 juta penutup hidung dan mulut kurang berkualiti, kata pegawai kerajaan, hari ini, ketika Beijing berdepan pelbagai aduan tentang alat perlindungan diri (PPE) tidak berkualiti yang dieksport ke seluruh dunia.

Permintaan bagi alat perlindungan itu telah meningkat ketika negara di seluruh dunia memerangi koronavirus yang membawa maut, yang telah menjejaskan sekitar 2.9 juta orang.

Namun, kebanyakan negara yang membuat aduan mengenai kerosakan penutup mulut dan hidung serta pelbagai barangan eksport dari China itu banyak digunakan petugas perubatan dan mereka yang terdedah wabak itu.

Setakat Jumaat, pihak berkuasa yang mengawal selia pasaran China telah memeriksa hampir 16 juta perniagaan dan merampas lebih 89 juta penutup hidung dan mulut serta 418,000 PPE lain.

Timbalan Pengarah Pengawal Selia Pasar Pentadbiran Negeri, Gan Lin berkata, pihak berkuasa turut merampas pembasmi kuman kurang efektif bernilai lebih 7.6 juta yuan (AS$1.1 juta).

Ia masih belum jelas berapa banyak barangan yang dirampas telah dihantar ke pasaran luar negara.

Susulan itu, dalam usaha untuk menyingkirkan produk-produk kurang bermutu, China telah mengeluarkan peraturan baharu kelmarin dengan menyatakan penutup hidung dan mulut bukan keperluan perubatan juga harus menepati piawaian nasional dan antarabangsa.

Menurut Kementerian Perdagangan dalam satu kenyataan menegaskan, pengeksport harus membuat pengakuan bertulis produk perubatan mereka memenuhi syarat keselamatan negara dihantar.

Peraturan ketat itu dilaksanakan selepas beberapa negara termasuk Sepanyol, Belanda, Republik Czech dan Turki terpaksa memulangkan kembali ratusan ribu penutup hidung dan mulut dan PPE tidak berkualiti diimport dari China.

Sementara itu, kerajaan Kanada minggu lalu turut mendedahkan sejuta penutup mulut dan hidung dibeli dari China tidak memenuhi standard piawaian profesional penjagaan kesihatan. – AFP