China rancang saring puluhan ribu rakyat

BEIJING, 22 OKT – China merancang untuk menjalankan ujian saringan terhadap puluhan ribu rakyatnya, selepas empat kes baharu COVID-19 dikesan dekat daerah pinggir bandar, hari ini.

Penularan baharu itu turut mendorong tindakan penutupan sekolah dan pembatalan penerbangan seluruh negara serta pelaksanaan perintah duduk di rumah sekitar kawasan perumahan terjejas.

China mengekalkan strategi sifar COVID-19 dengan penutupan sempadan ketat, kuarantin panjang dan perintah berkurung bersasar.

Negara dengan populasi teramai dunia itu juga bergegas menyekat puluhan jangkitan di beberapa wilayahnya.

Penularan pada awalnya dikesan pada pasangan warga emas dalam kumpulan pelancong domestik dari Shanghai ke Xi’an, wilayah Gansu dan ke Inner Mongolia. Sejak itu, puluhan kes dicatatkan berkaitan perjalanan mereka dan ada kontak rapat di sekurang-kurangnya lima wilayah, termasuk di Beijing dan kawasan terpencil seperti Inner Mongolia.

Sebagai langkah susulan, pegawai di barat laut China, daerah Changping terus meningkatkan pengesanan kontak dan memperketat protokol keselamatan COVID-19, lapor media tempatan hari ini, menyaksikan seramai 35,0000 orang sudah menjalani ujian saringan.

China merekodkan 28 kes baharu membabitkan jangkitan tempatan setakat semalam, berbanding 15 pada hari sebelumnya, menurut kenyataan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, hari ini. – AFP

Penduduk menjalani ujian saringan bagi koronavirus di Zhangye, wilayah barat daya Gansu, China. –AFP