China rayu AS hentikan perang tarif

BEIJING, 17 OKT – China merayu kepada Washington supaya menamatkan perang tarif namun tidak memberikan petunjuk hari ini tentang apa yang diingini oleh Beijing sebelum ia melaksanakan apa yang dikatakan oleh Presiden Donald Trump sebagai janji untuk membeli barangan ladang Amerika Syarikat (AS) berjumlah AS$50 bilion.

Janji Trump pada Jumaat untuk menangguh kenaikan tarif sebagai tukaran kepada pembelian eksport AS oleh China membantu memberi jaminan kepada pasaran kewangan. Namun perjanjian masih belum dikemukakan dan butir-butir belum diumumkan, meninggalkan syarikat menyoal sama ada Beijing telah memenuhi syarat lain seperti pembatalan tarif sebelum pembelian boleh diteruskan.

Kumpulan perniagaan mengalu-alu perjanjian sebagai satu langkah terhadap penyelesaian kebuntuan dalam kempen berusia 15 bulan berhubung lebihan dagangan China dan cita-cita teknologi. Trump berjanji akan menangguh kenaikan tarif pada minggu ini ke atas import China bernilai AS$250 bilion.

Namun ahli ekonomi mengingatkan ia gagal mengatasi isu utama perbalahan yang mengancam menjejas pertumbuhan ekonomi global. Ia termasuk aduan mengenai pelan teknologi Beijing.

Perunding ‘berusaha mencapai satu persetujuan mengenai teks perjanjian secepat mungkin,’ kata jurucakap Kementerian Perdagangan, Gao Feng, pada taklimat media mingguan. Beliau berkata beliau tidak dapat memberikan butir lanjut.

Beijing masih belum mengesahkan sama ada ia akan membeli pada skala yang diumumkan oleh Trump. – AFP

Pengerusi Majlis Perniagaan AS-China Evan Greenberg (kiri) dan Perdana Menteri China Li Keqiang mengadakan mesyuarat di Great Hall of the People di Beijing, kelmarin. – AP