China rayu AS terima kemajuan teknologinya

BEIJING, 31 Jan – China hari ini menggesa Washington untuk menerima kemajuan teknologinya selepas pegawai perisikan AS mengatakan Beijing mencuri atau meniru teknologi asing, ketika kedua-dua belah pihak mengadakan satu lagi rundingan panjang bertujuan menamatkan perang tarif kerana cita-cita teknologi Beijing.

Ia benar-benar tidak munasabah untuk membuat tuduhan melulu, kata jurucakap kementerian luar, Geng Shuang.

Pada Rabu, pegawai perisikan AS memberitahu Kongres bahawa China adalah ancaman komersial dan tentera terbesar kepada Amerika Syarikat. Satu laporan berasingan minggu ini mengatakan Beijing akan mencuri atau meniru teknologi yang tidak dapat dibuatnya sendiri.

“Amerika Syarikat adalah kuasa dunia terbaik dalam teknologi, kami sendiri mengiktirafnya,” kata Geng. “Namun kami berharap AS boleh melihat kemajuan saintifik dan teknologi negara-negara lain dengan sikap terbuka dan inklusif. Ia mesti membenarkan yang lain maju sementara ia memajukan dirinya sendiri.

Pada Isnin, syarikat teknologi terbesar China, Huawei didakwa di atas tuduhan mencuri teknologi oleh AS.

AS sebelum ini membantah rancangan China bagi pembangunan teknologi canggih diketuai syarikat negara itu, yang menurut pegawai AS mencabuli komitmen pasaran terbuka Beijing.

Presiden Donald Trump mahu mengurangkan segera satu defisit perdagangan kronik AS yang mungkin sukar dicapai tanpa perubahan fundamental kepada pendekatan China bagi membangunkan ekonominya dan mempertingkatkan standard kehidupan bagi 1.4 bilion rakyatnya.

Perunding yang bermesyuarat di Washington berdepan satu tarikh akhir pada 2 Mac: pentadbiran Trump dijadualkan meningkatkan tarifnya ke atas import China bernilai AS$200 bilion daripada 10 peratus kepada 25 peratus jika satu perjanjian tidak dicapai pada tarikh tersebut. – AP

Gambar fail menunjukkan pelawat melihat sebuah robot dari pembuat robot China, Aubo Robotics di Kongres Robot Dunia di Beijing pada Ogos tahun lalu. Kerajaan China merayu agar Washington menerima kemajuan industrinya meskipun pegawai AS menuduh China mencuri dan meniru teknologinya. – AP