China, Rusia jalankan latihan ketenteraan

BEIJING, 10 SEPT – Tentera China dan Rusia akan mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan di selatan Rusia hujung bulan ini bersama tentera dari Armenia, Belarus, Iran, Myanmar, Pakistan dan negara-negara lain, menurut pengumuman menteri pertahanan China hari ini.

Latihan ‘Caucus 2020’ akan mengerahkan kenderaan beroda dan senjata ringan untuk diterbangkan ke lokasi latihan oleh pesawat pengangkut versi terbaharu China, kata kementerian dalam siaran akhbar.

Latihan yang akan diadakan pada 21 hingga 26 September akan memfokuskan taktik pertahanan, pengepungan dan menguasai medan pertempuran dan arahan, kata kementerian.

Latihan memberi makna istimewa kepada hubungan China-Rusia ‘dalam saat penting di mana seluruh dunia melawan pandemik,’ menurut kementerian.

China tidak mencatatkan kes domestik koronavirus dalam beberapa minggu kebelakangan, manakala Rusia terus mencatat kes baharu dan melaporkan lebih dari satu juta jangkitan.

Sejak penubuhan ‘perkongsian strategik komprehensif’ dua dekad yang lalu, China dan Rusia telah bekerjasama dengan lebih dekat dalam hal ketenteraan dan diplomasi, sebahagian besarnya untuk melawan pengaruh Amerika Syarikat. Tentera kedua-dua buah negara tersebut sering kali mengadakan latihan bersama dan selalu memberi sokongan semasa mereka dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai isu termasuk Syria dan Korea Utara. – AP