China, Sarawak meterai MOU

KUCHING, 10 JUN – Dua syarikat China, Beijing BECA Sci-Tech Co Ltd dan Sinopec Engineering Inc, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri Sarawak untuk melabur sebanyak AS$5 bilion untuk pembangunan kompleks minyak dan gas (O&G) di Lawas.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata dasar O&G Sarawak mengalu-alukan penyertaan sektor swasta dalam pembangunan sektor O&G di negeri tersebut.

“MoU ini merupakan langkah yang baik untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan kami dalam sektor ini,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian tersebut di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Industri dan Pembangunan Usahawan, Presiden BECA Sci-Tech Beijing Hao Liang dan Naib Presiden Sinopec Engineering Zhao Xiangdong.

Hao berkata MoU itu merupakan peristiwa penting dalam projek pembangunan petrokimia.

“Untuk memastikan projek itu beroperasi secepat mungkin dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak, BECA akan memastikan industri itu ditambah baik, menjadikannya lebih kukuh dan lebih besar, dan pada masa yang sama bekerja bersama dengan rakyat Sarawak untuk mewujudkan masa depan yang lebih baik,” katanya.

Projek usaha sama itu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai suku keempat tahun ini dan dijangka siap pada 2022. – Bernama

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tiga, kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara kerajaan Negeri Sarawak diwakili oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Industri dan Usahawan Sarawak, Datuk Liaw Soon Eng (dua, kanan) dengan Presiden Beijing BECA Sci-Tech Co Ltd, Hao Liang pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Kerajaan Sarawak dengan Beijing BECA Sci-Tech Co Ltd dan Sinopec Engineering Incorporation kelmarin. – Bernama