China saring 14 juta penduduk kali kedua

BEIJING, 12 JAN – Bandar bahagian utara China, Tianjin mengarahkan ujian COVID-19 pusingan kedua ke atas kesemua 14 juta penduduk hari ini berikutan dengan penemuan 97 kes varian Omicron semasa saringan awal yang bermula Ahad.

Penduduk diminta untuk kekal berada di tempat mereka sehingga kesemua keputusan diterima, menurut Agensi Berita Xinhua.

Xinhua berkata pihak berkuasa menjalankan hampir 12 juta ujian setakat ini, dengan 7.8 juta sampel sudah dikembalikan. Jangkitan kali pertama dilaporkan pada Sabtu di bandar yang terletak kira-kira lapan jam dari Beijing, yang bakal menganjurkan Sukan Olimpik musim sejuk pada 4 Februari.

Perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi dan pengangkutan lainnya antara bandar-bandar telah digantungkan, menyebabkan gangguan rantaian bekalan, termasuk barangan makanan yang dibungkus dijual di kedai-kedai runcit.

Pejabat pencegahan dan kawalan COVID-19 Tianjian berkata kesemua yang disahkan positif pada ujian pusingan awal didapati dijangkiti oleh varian Omircon, di mana China setakat ini hanya melaporkan sebilangan kecil kes seumpamanya. Sumber penularan masih belum diketahui dan ramai daripada mereka menyebarkan strain tersebut tanpa dikesan kerana mereka tidak menunjukkan sebarang gejala.

Selain itu, di bahagian utara, dua penuntut kolej yang membuat perjalanan pada bulan ini menaiki kereta api dari Tianjian disahkan positif COVID-19 hari ini di bandar Dalian, menurut pegawai bandar. Masih tiada berita varian apa yang telah menjangkiti mereka. – AP

Pegawai kesihatan menjalankan ujian ART ke atas penduduk di Henan selepas penemuan 97 kes varian Omicron semasa saringan awal yang bermula Ahad. – AP