China sasar pertumbuhan ekonomi enam peratus

BEIJING, 5 MAC – Pemimpin China berkata hari ini mereka telah menetapkan sasaran pertumbuhan untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih daripada enam peratus pada tahun ini, ketika ekonomi kedua terbesar dunia itu pulih daripada kemelesetan berpunca daripada pandemik.

Pertumbuhan global meleset pada 2020, mencatat perkembangan paling perlahan dalam empat dekad apabila langkah pembendungan virus ketat di dalam negara bercanggah dengan pembekuan dalam perniagaan antarabangsa.

Kemelesetan menimbulkan keraguan mengenai keupayaan Parti Komunis untuk menunaikan janjinya untuk mencatat kemakmuran berterusan sebagai tukaran kepada kuasa politik yang tidak dipertikaikan.

Namun dengan koronavirus sebahagian besar berjaya dikawal, penganalisis menjangka pemulihan yang kukuh, dengan sesetengahnya mencadangkan ekonomi mungkin berkembang sebanyak sembilan peratus tahun ini.

Mengumumkan angka pada awal sesi perhimpunan tahunan, Perdana Menteri Li Keqiang berkata kerajaan telah ‘mengambil kira pemulihan aktiviti ekonomi.’

Presiden China Xi Jinping (kiri) dan Perdana Menteri Li Keqiang berdiri semasa mereka tiba untuk sesi pembukaan Kongres Rakyat China di Great Hall of the People di Beijing kelmarin. Pemimpin China berkata hari ini mereka telah menetapkan sasaran untuk ekonomi bertumbuh lebih enam peratus pada tahun ini. – AP

Sasaran enam peratus juga bersesuaian dengan matlamat masa depan, menurut Li, dan ia termasuk pembaharuan, inovasi dan ‘pembangunan berkualiti tinggi.’

Pihak berkuasa berkata mereka mahu mewujudkan 11 juta pekerjaan baharu di bandar pada tahun ini, dan mengekalkan pengangguran bandar pada 5.5 peratus.

Angka tersebut juga mencerminkan “peralihan fokus daripada kuantiti kepada kualiti pertumbuhan ekonomi,” kata Zhu Chaoping, ahli strategi di JP Morgan Asset Management.

Dalam pada itu, China juga akan melabur lebih dalam arang batu untuk menjana ekonominya dalam tempoh lima tahun akan datang, menurut pelan kerajaan yang dikeluarkan hari ini.

Penyokong alam sekitar berharap pelan pembangunan negara lima tahun China, dilancarkan pada sesi parlimen tahunan, akan memberikan rangka tindakan untuk mencapai matlamat karbon neutral pada 2060. – AFP