HEBEI, 28 Mei – Semakin ringan kenderaan, semakin kurang pencemarannya. Berdasarkan premis ini, penyelidik di syarikat teknologi pengeluran kereta di China, JEE Automation Equipment Co Ltd sedang berusaha untuk mewujudkan pelbagai kereta tenaga baharu yang menawarkan urusan persekitaran yang lebih baik sambil mengekalkan kecekapan dan prestasi kenderaan moden serta canggih.
“Sebuah kenderaan yang hanya 10 peratus lebih ringan akan membawa pengurangan sebanyak enam peratus dalam pelepasan dan pencemaran karbon,” kata Pengurus Makmal JEE, Tang Wei semasa lawatan media ke kilang syarikat tersebut di sini, kelmarin.
Satu daripada cara untuk mengurangkan berat kenderaan ialah bahan yang digunakan untuk bahagian dan komponen, katanya.
Untuk itu, penyelidikan dan pembangunan yang menyeluruh sedang dijalankan di JEE.
Terdapat pelbagai cabaran, kata Tang, yang bersama-sama dengan 500 yang lain dalam pasukan itu, bertanggungjawab untuk penyelidikan, pembangunan dan ujian di JEE, yang merupakan perintis dan pembekal utama sistem elektrik atau E-drive untuk kenderaan tenaga baharu.
Cabaran terbabit adalah dalam memastikan kualiti dan kecekapan dengan menggunakan bahan yang lebih ringan dan banyak kemajuan yang telah dicapai, kata Tang sambil menambah bahawa kereta sedemikian akan dapat dikeluarkan dalam masa terdekat.
Terdahulu kelamarin, Yu Aihua, ahli Jawatankuasa Parti Wilayah Anhui dan Ketua Pengarah Jabatan Publisiti telah melancarkan Lawatan Media Arus Perdana 10 Negara ASEAN dan Media Sasaran Seberang Laut Terkemuka China Ke Anhui.
Program yang memasuki tahun keempat itu bertujuan merapatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara China dan ASEAN melalui media. – Bernama