China sedia berdepan COVID-19 di temasya Olimpik

BEIJING, 23 DIS – Pegawai China hari ini berkata, mereka bersedia untuk pandemik COVID-19 di dalam gelembung Olimpik Musim Sejuk dengan rancangan untuk menghantar atlet yang mempunyai gejala ke hospital khas di Beijing.

Sukan Olimpik Februari ditetapkan sebagai acara sukan besar-besaran yang paling ketat sejak wabak tersebut bermula, dengan penonton antarabangsa tidak dibenarkan dan semua peserta perlu berada di dalam sistem yang tertutup.

“Pasti akan ada jangkitan dan mungkin ada kemungkinan penularan kelompok berskala kecil berlaku,” kata pegawai kawalan virus Olimpik Beijing, Huang Chun pada taklimat, sambil menambah bahawa jumlah besar orang yang terlibat akan mempunyai ‘risiko penularan yang sangat tinggi’.

“Akan ada beberapa kes positif,” kata seorang lagi pegawai jawatankuasa penganjur, Han Zirong. “Ini adalah berkemungkinan besar.”

China – tempat pertama kali COVID-19 dikesan – telah berjaya memperlahankan kes baharu, melaksanakan strategi ‘sifar COVID-19’ yang ketat melibatkan penutupan sempadan, sekatan pergerakan, kuarantin yang panjang dan teknologi pengesanan penduduk.

Malah satu kes boleh membawa kepada sekatan yang pantas dan pegawai yang dianggap gagal mengawal COVID-19 sering dipecat.

Menganjurkan sejumlah besar warga asing untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk kekal sebagai usaha berisiko tinggi bagi pemimpin China. – AFP

Huang Chun semasa sidang media di bangunan Pejabat Penerangan Majlis Negeri (SCIO) di Beijing, kelmarin. – AFP