China segerakan pembinaan pusat kuarantin

BEIJING, 19 JAN – Ribuan bilik pasang siap memenuhi ladang yang luas di pinggir bandar Shijiazhuang, China ketika kru pembinaan bekerja sepanjang hari untuk mendirikan kemudahan kuarantin dalam kapasiti yang besar untuk mengekang penularan COVID-19 yang semakin meningkat di negara itu.

China sebahagian besarnya telah berjaya mengawal virus tersebut walaupun negara-negara lain di seluruh dunia masih berjuang untuk menanganinya dengan kematian yang semakin meningkat dan hospital dipenuhi dengan pesakit.

Meskipun pada awalnya kes penularan dicatatkan dalam kadar kecil, bagaimanapun ia telah mendorong pegawai China untuk mengarahkan bagi pelaksanaan ujian COVID-19 secara besar-besaran, mengenakan perintah berkurung yang ketat dan bersiap sedia untuk memindahkan penduduk ke kemudahan kuarantin untuk mengekang penularan semula koronavirus.

Kerja-kerja di luar Shijiazhuang, China, mengingatkan akan usaha Beijing pada awal tahun lalu untuk membangunkan hospital lapangan sementara di Wuhan – pusat bandar di mana kes COVID-19 pertama kali muncul – hanya dalam beberapa hari.

Bangunan kemudahan kuarantin di Shijiazhuang dilengkapi dengan bilik mandi, Wi-fi dan penyaman udara dan akan menempatkan kontak rapat pesakit virus yang disahkan selepas kemudahan itu siap dalam beberapa hari mendatang. – AFP

Gambar fail pada 16 Januari 2021 menunjukkan kerja-kerja pembinaan pusat kuarantin sedang giat dilaksanakan di Shijiazhuang. – AFP