Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    China sekat import buah, ikan Taiwan

    BEIJING, 3 OGOS – China melancarkan sekatan hari ini terhadap import buah-buahan dan ikan dari Taiwan di samping menghentikan penghantaran pasir ke pulau itu susulan lawatan Speaker Dewan Rakyat AS, Nancy Pelosi.

    Lawatan daripada Pelosi, yang berada di barisan kedua selepas jawatan presiden dan pegawai tertinggi AS yang dipilih untuk melawat Taiwan dalam tempoh 25 tahun, telah mencetuskan ketegangan diplomatik.

    Beliau tiba lewat kelmarin ekoran amaran yang semakin tegas dari China, yang menganggap pulau itu sebahagian daripada wilayahnya untuk ditebus semula, secara paksa jika perlu.

    Pentadbiran Kastam China berkata hari ini, ia akan menggantung beberapa import buah-buahan sitrus dari Taiwan berhubung dakwaan pengesanan ‘berulang’ sisa racun perosak yang berlebihan dan import ikan kerana ujian positif koronavirus pada bungkusannya.

    Dalam notis berasingan, Kementerian Perdagangan menambah ia juga akan ‘menggantung eksport pasir asli ke Taiwan’ mulai hari ini, tanpa memberi maklumat lanjut.

    Nancy Pelosi bersama Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen di Taiwan pada 3 Ogos. – AP

    Pasir asli biasanya digunakan untuk menghasilkan konkrit dan asfalt, dan kebanyakan pasir dan kerikil yang diimport Taiwan berasal dari China.

    Langkah itu adalah sebahagian daripada ‘corak biasa untuk Beijing’, kata Even Pay, penganalisis pertanian di konsultasi Trivium China.

    Lebih banyak sekatan perdagangan pertanian dan makanan akan dijangkakan dalam beberapa hari akan datang, tambahnya.

    “Apabila ketegangan diplomatik atau perdagangan semakin memuncak, pengawal selia China biasanya mengambil pendekatan yang sangat ketat bagi pematuhan… mencari sebarang isu yang boleh digunakan untuk mewajarkan larangan perdagangan,” katanya kepada AFP.

    China merupakan rakan dagangan dan pasaran eksport terbesar Taiwan, dengan perdagangan dua hala meningkat 26 peratus ke tahun kepada AS$328 bilion pada tahun 2021, menurut data rasmi.

    Ini bukan kali pertama Beijing menyasarkan eksport pulau itu.

    China mengharamkan import nanas pada Mac 2021, memetik penemuan serangga perosak, dalam satu langkah yang dilihat secara meluas sebagai didorong oleh politik. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...