China selar sekatan AS

BEIJING, 18 OGOS – Beijing hari ini menyelar sekatan baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap syarikat gergasi telekomunikasi Huawei, menuduh Washington menyalahgunakan kuasa nasionalnya untuk menyekat kebangkitan syarikat China.

AS kelmarin telah melarang 38 sekutu Huawei untuk membeli cip komputer AS dan teknologi lain, menurut kenyataan Jabatan Perdagangan China.

Ketegangan sudah meningkat antara kedua-dua kuasa dunia itu, dengan Washington mendakwa bahawa firma-firma China digunakan bagi tujuan mengintip untuk Beijing – satu tuduhan yang disangkal oleh kerajaan China dan syarikat-syarikat tersebut.

Jurucakap kementerian luar negeri China, Zhao Lijian hari ini mengatakan tidak ada bukti bahawa produk Huawei mengandungi sebarang teknologi pengintipan.

Sekatan itu benar-benar menyalahi etika prinsip dalam pasaran dan persaingan adil yang selalu disebut-sebut oleh AS, jelasnya.

Gambar fail pada 15 Julai menunjukkan pelawat menggunakan penutup mulut dan hidung ketika diberikan penerangan mengenai produk baharu Huawei di premis syarikat itu di Beijing. Beijing menyelar sekatan baharu AS ke atas Huawei, menuduh Washington telah menyalahgunakan kuasa nasionalnya untuk menyekat kebangkitan syarikat China. – AP

Washington telah terlibat dalam ‘penyalahgunaan kuasa nasional’ untuk menerapkan segala jenis sekatan ke atas Huawei dan perusahaan China yang lain,” katanya pada sidang media.

Pegawai AS berpendapat bahawa Huawei telah menimbulkan risiko ke-selamatan, dakwaan yang ditolak oleh syarikat itu.

Setiausaha Perdagangan, Wilbur Ross mengatakan Huawei dan sekutunya “telah bekerja melalui pihak ketiga untuk memanfaatkan teknologi AS dengan cara yang menjejaskan kepentingan keselamatan AS dan kepentingan hal ehwal luar negeri AS.”

Pentadbiran Trump telah menyekat Huawei daripada rangkaian tanpa wayar 5G di Amerika Syarikat dan menekan sekutu untuk melakukan perkara yang sama.

Huawei menjadi pengeluar telefon pintar global terbesar pada suku terakhir, sebahagian besarnya disebabkan oleh penjualannya dalam pasaran China.

Zhao kelmarin mendesak AS untuk ‘memperbetulkan kesalahannya,’ dengan mengatakan China akan terus mengambil langkah yang diperlukan untuk melindungi hak dan kepentingan sah syarikat China. – AFP