China semak kematian Wuhan, peningkatan 50 peratus

WUHAN, 17 APRIL China menaikkan angka kematian di pusat wabak COVID-19, Wuhan sebanyak 50 peratus hari ini, yang menunjukkan titik awal pandemik global itu jauh lebih buruk daripada yang dilaporkan Beijing sebelum ini.

Semakan jumlah kematian itu dibuat ketika pemimpin dunia semakin lantang menyuarakan bahawa China tidak terbuka sepenuhnya mengenai kesan virus domestik yang membunuh lebih daripada 140,000 orang di seluruh dunia dan menyebabkan separuh penduduk dunia berkurung di rumah.

Pengumuman angka kematian Wuhan, di mana virus itu pertama kali dikesan pada akhir tahun lalu, menjadikan jumlah kematian di bandar itu meningkat kepada 3,869 orang. Ia turut menambah jumlah kematian seluruh negara kepada 4,632, berdasarkan perangkaan rasmi yang dikeluarkan hari ini.

Menurut pengumuman itu, kematian tambahan berkenaan membabitkan data kes yang ‘dilaporkan secara salah’ atau yang ‘hilang sepenuhnya’.

Tetapi semakan kematian itu meningkatkan naratif di kalangan pemimpin dunia dipimpin pentadbiran Presiden AS, Donald Trump mengenai ketidakjujuran China dalam menangani wabak berkenaan.

Gambar fail pada 1 Februari menunjukkan pekerja rumah pengebumian menguruskan mayat mangsa COVID-19 di sebuah bangunan di Wuhan, wilayah Hubei China. China kelmarin menyemak semula angkat kematian di Wuhan selepas pemimpin dunia meragui jumlah kematian di pusat wabak itu. – AP

Malah, ia kini mendapat sokongan daripada dari dan Perancis, yang didorong dua media AS yang melaporkan kesangsian bahawa virus itu secara tidak sengaja terlepas keluar daripada makmal di Wuhan yang membuat kajian mengenai kelawar.

Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab, yang mewakili Perdana Menteri Boris Johnson yang menjalani proses pemulihan daripada virus itu, berkata beliau ada ‘persoalan sukar’ kepada Beijing.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberitahu Financial Times, adalah sesuatu yang ‘naif’ jika menganggap bahawa China menangani wabak itu dengan baik, menambah: ‘Sudah jelas ada hal-hal yang tidak kita ketahui’.

Beijing dan Moscow bagaimanapun menangkis serangan itu, dengan Presiden Rusia Vladimir Putin mengecam “percubaan beberapa pihak untuk memburuk-burukkan China.”

China turut menafikan bahawa ia menyembunyikan fakta penularan pandemik, sekali gus menolak tuduhan AS mengenai hubungan akrab dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Jurucakap Kementerian Luar, Zhao Lijian, mengakui virus itu menular begitu pantas dan menyumbang kepada peningkatan jumlah kematian di China hari ini, namun beliau menambah, mereka tidak menyembunyikan sebarang fakta atau membenarkan ia berlaku.

Zhao berkata, tuduhan bahawa China terlalu akrab dengan WHO adalah satu cubaan untuk menjatuhkan nama baik negara itu. – AFP