BEIJING, 13 SEPT – China kelmarin menyampaikan sumbangan bantuan makanan kepada mangsa banjir di Pakistan yang dijangka dapat memenuhi keperluan 3,000 keluarga.
Sumbangan berupa bijirin itu disampaikan Duta China ke Pakistan, Nong Rong kepada pihak berkuasa tempatan semasa melawat bandar Drabagti, di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan.
Menteri Kawalan Narkotik Pakistan, Nawabzada Shazain Bugti mengucapkan terima kasih diatas bantuan itu dan terharu dengan inisiatif kerajaan China yang tidak jemu menghulurkan bantuan.
“Kedua-dua negara mempunyai jalinan persahabatan yang akrab antara satu sama lain kerajaan China sentiasa menghulurkan bantuan apabila Pakistan mengalami kesukaran.
“Pakistan juga berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan China bagi menaik taraf pembinaan prasarana pendidikan dan perubatan.
“Sementara itu Nong Rong berkata bantuan yang diberikan atas keprihatinan dan saling membantu yang menjadi amalan kedua-dua negara.
“Rakyat China tidak akan melupai bantuan Pakistan yang membekalkan kesemua khemah yang ada dalam simpanan kepada China ketika gempa bumi melanda Wenchuan, provinsi Sichuan pada 2008.
“Diharapkan kerjasama yang sedia terjalin antara China dan Pakistan ini dapat terus diperkukuh,” katanya.
Menurut statistik yang diumumkan Jabatan Pentadbiran Bencana Pakistan pada Selasa lalu, hujan lebat sejak pertengahan Jun telah meragut 1,396 nyawa dan mengakibatkan 12,728 orang cedera. – Bernama
