BEIJING, 26 MEI – China mendahului Jerman sebagai sumber import terbesar Britain pada suku pertama 2021, menurut data diumumkan Pejabat Statistik Kebangsaan Britain.
Menurut data itu lagi pada Januari hingga Mac 2021, jumlah dagangan China dengan Kesatuan Eropah (EU) menyusut 23.1 peratus berbanding suku pertama 2018.
Bagaimanapun, jumlah dagangan dengan negara bukan EU hanya berkurangan pada kadar 0.8 peratus sahaja.
Sejak suku kedua 2020, jumlah import Britain dari China mengatasi negara lain, dan terus menunjukkan kenaikan.
Ini terbukti dengan kadar import dari China mencatat 16.1 peratus dalam jumlah keseluruhan import Britain pada suku pertama 2021, iaitu melambung 65.6 peratus berbanding suku pertama 2018.
China buat kali pertama mendahului Jerman sebagai pasaran import terbesar bagi Britain susulan peningkatan permintaan terhadap tekstil keluaran China untuk pengeluaran penutup mulut dan hidung dan peralatan perlindungan peribadi (PPE) ketika pandemik COVID-19.
Sementara itu, bertambahnya keperluan Britain terhadap peralatan elektrik yang dikeluarkan China dalam tempoh kuarantin pula menyumbang kepada peningkatan jumlah dagangan dua hala. – Bernama