China tangguh penganjuran Sukan Asia

BEIJING, 6 MEI – Sukan Asia yang bakal diadakan di bandar Hangzhou, China pada September telah ditangguhkan disebabkan oleh COVID, menurut penganjur hari ini.

Sukan dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 25 September tetapi kini ditunda ketika China cuba membendung peningkatan besar-besaran jangkitan di beberapa bahagian di negara itu.

Hangzhou terletak kurang 200 kilometer dari bandar terbesar China, Shanghai, yang menjalani perintah berkurung selama berminggu-minggu sebagai sebahagian daripada langkah tegas kerajaan untuk mencegah penularan virus.

Majlis Olimpik Asia (OCA) dalam kenyataan berkata bahawa keputusan penangguhan itu ‘diambil oleh semua pihak selepas membuat pertimbangan teliti mengenai situasi pandemik dan jumlah peserta sukan itu’.

Tarikh baharu bagi sukan tersebut, yang kebiasaannya menarik kehadiran lebih 10,000 atlet dari seluruh wilayah, akan diumumkan ‘pada masa terdekat’, menurut kenyataan.

Jam detik menunjukkan hitungan sebelum acara pembukaan rasmi Sukan Asia di Hangzhou. China mengumumkan bahawa acara sukan tersebut akan ditangguhkan disebabkan oleh COVID. – AFP

Penganjur bulan lalu berkata bahawa Hangzhou, bandar yang mempunyai 12 juta penduduk di timur China, sudah siap membina kira-kira 56 tempat kejohanan untuk Sukan Asia dan Sukan Para Asia.

Pada masa itu, mereka memberitahu bahawa mereka merancang untuk mengadakan acara mengikut rancangan pengawalan virus yang ‘dipelajari daripada pengalaman yang berjaya’ Sukan Musim Sejuk Olimpik Beijing, yang diadakan pada Februari mengikut gelembung keselamatan COVID yang ketat.

Hangzhou bakal menjadi bandar ketiga di China untuk menganjurkan kejohanan serantau selepas Beijing pada 1990 dan Guangzhou pada 2010.

Beberapa acara akan diadakan di wilayah lain bandar itu termasuk Ningbo, Wenzhou, Huzhou, Shaoxing dan Jinhua.

OCA turut berkata Sukan Belia Asia, dijadualkan berlangsung pada Disember di Shantou, China, akan dibatalkan selepas ditangguhkan sebelum ini. – AFP