China tapis dakwaan #MeToo

BEIJING, 4 NOV – Rangkaian penapis dalam talian China hari ini memadam dakwaan seorang pemain bintang tenis yang dilaporkan bahawa seorang ahli politik berkuasa melakukan serangan seksual terhadapnya, yang juga laporan pertama pergerakan #MeToo terhadap pemimpin kerajaan yang memerintah negara itu.

Peng Shuai, bekas pemain beregu nombor satu dunia, dikatakan membuat dakwaan mengenai bekas naib perdana menteri, Zhang Gaoli dalam satu hantaran di Weibo seperti Twitter pada Selasa lalu. Peng dilaporkan mendakwa Zhang, yang kini berusia 70-an, telah ‘memaksa’ dia melakukan hubungan seks dan mereka mempunyai hubungan tidak menentu selama beberapa tahun.

Siaran itu kelihatan telah dipadamkan dengan cepat dan AFP tidak dapat mengesahkan kesahihan tangkapan skrin yang mengandungi dakwaan itu atau mengesahkan dakwaan yang dibuat di dalamnya. Data Weibo menunjukkan bahawa Peng telah menyiarkan sesuatu pada Selasa lalu dalam akaunnya yang disahkan dan siaran itu dilihat lebih daripada 100,000 kali, tetapi kandungannya tidak diketahui.

Tiada kata-kata lanjut daripada Peng yang berusia 35 tahun dan juga tiada maklum balas awam daripada Zhang, bekas seorang daripada tujuh ahli jawatankuasa tetap Politburo China yang berkuasa dan dilaporkan rapat dengan perdana menteri, Li Keqiang. Kumpulan penapis China sejak itu telah menyekat semua sebutan mengenai tuntutan yang dibuat oleh Peng, bekas juara beregu Wimbledon dan Terbuka Perancis. – AFP

Reaksi pemain tenis China, Peng Shuai setelah menewaskan pemain AS, Venus Williams dalam perlawanan perseorangan wanita dalam pusingan pertama kejohanan tenis Terbuka China. – AFP