China terus bergelut bendung nCoV

BEIJING, 27 JAN – China melanjutkan lagi percutian musim bunga dan menangguhkan pembukaan sekolah hari ini, menyekat pengangkutan awam di pelbagai kawasan untuk terus membendung wabak koronavirus daripada terus menular.

Percutian musim bunga tujuh hari yang dijadualkan berakhir pada 30 Januari, dilanjutkan lagi sehingga 2 Februari ini. Universiti, sekolah rendah dan menengah serta tadika di seluruh negara akan menangguhkan pembukaan semester musim bunga sehingga notis lanjut, menurut Ketua Pejabat Majlis Negeri. Pihak berkuasa kesihatan China mengumumkan hari ini bahawa 2,744 kes penyakit radang paru-paru yang disahkan oleh novel koronavirus (2019-nCoV), termasuk 461 dalam keadaan kritikal, telah dilaporkan di negara ini setakat kelmarin. Keadaan radang paru-paru telah mengakibatkan sejumlah 80 kematian. Sementara 51 lagi kembali pulih.

Selain penutupan sementara tempat-tempat awam seperti tapak pelancongan, muzium dan pawagam dan pembatalan perhimpunan, sekatan pengangkutan telah dikenakan dalam pelbagai tempat tatkala negara itu masih dalam tempoh perjalanan percutian musim bunga.

Bandar pelabuhan utara Tianjin dan wilayah timur Zhejiang dan Anhui serta bandar barat daya Chongqing kelmarin mula menggantung perkhidmatan bas penumpang lebuh raya di antara wilayah. Sebelum ini, Wilayah Shanghai dan Qinghai telah menghentikan perkhidmatan bas yang serupa. – Xinhua

Pelancong dari Beijing menggunakan topeng muka ketika tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle kelmarin. China melanjutkan lagi percutian musim bunga dan menangguhkan pembukaan sekolah kelmarin, menyekat pengangkutan awam di pelbagai kawasan untuk terus membendung wabak koronavirus daripada terus menular. – AP