China teruskan usaha lindungi haiwan liar

BEIJING, 3 MAC – Sempena Hari Haiwan Liar dan Tumbuhan Sedunia hari ini, Kementerian Pertanian dan Desa bersama Jabatan Hutan dan Padang Rumput China mengumumkan ‘Senarai Pemeliharaan Haiwan Liar Penting Negara’ yang terbaharu.

Setelah disemak semula, sejumlah 980 jenis dan lapan kategori haiwan liar telah dimasukkan dalam senarai tersebut yang dilihat mempertingkat keupayaan pemeliharaan haiwan liar di China. WildAid, sebuah agensi pemeliharaan alam antarabangsa yang sentiasa berusaha melindungi haiwan liar hampir pupus, turut menghasilkan banyak iklan kebajikan yang berkaitan bersama dengan pelbagai badan kerajaan China.

Wakil perdana WildAid di Beijing, Yu Chong berkata, semakan semula senarai tersebut memperlihatkan China semakin giat memperbaiki usaha pemeliharaan terhadap haiwan liar, yang dianggap penting bagi memulihkan habitat dan kelompok spesies haiwan liar.

Menurut beliau, pertambahan jumlah jenis haiwan turut menandakan satu pencapaian besar. Memberi contoh penyu, Yu berkata ia sudah mendapat perhatian WildAid sejak sekian lama dan telah disenaraikan sebagai haiwan pemeliharaan peringkat pertama.

Jelasnya, dengan memasukan haiwan itu di dalam senarai pemeliharaan, beliau percaya ia dapat meningkatkan tahap kesedaran orang awam terhadap penyu. Sementara itu, Jabatan Hutan dan Padang Rumput Negara China mendedahkan langkah seterusnya yang akan diambil kerajaan adalah termasuk pelaksanaan tanggungjawab oleh semua kerajaan tempatan untuk memastikan keselamatan habitat dan haiwan setempat, mencegah pemburuan haram. – Bernama