China: Tiada kompromi soal Taiwan

BEIJING, 22 OKT – China hari ini mengatakan ‘tiada ruang’ untuk berkompromi atau konsesi isu Taiwan, susulan komen oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang komited melindungi pulau itu jika ia diserang.

Jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin menekankan tuntutan berlarutan bahawa pulau itu adalah wilayahnya pada satu taklimat media harian selepas Biden membuat komen itu sehari sebelumnya pada forum dihoskan oleh CNN.

China kebelakangan ini meningkatkan ancamannya untuk mengawal Taiwan menggunakan kekerasan jika perlu dengan menerbangkan pesawat perang berhampiran pulau itu dan berlatih pendaratan di pantai.

“Apabila timbul isu berkaitan kedaulatan dan integriti wilayah China serta kepentingan teras lainnya, tiada ruang untuk China berkompromi atau membuat konsesi, dan seharusnya tidak ada sesiapa memperkecil-kecilkan tekad, keinginan tegas dan keupayaan mantap rakyat China untuk mempertahankan kedaulatan bangsa dan integriti wilayahnya,” kata Wang.

“Taiwan adalah bahagian yang tidak boleh diasingkan dari wilayah China. Isu Taiwan adalah hal ehwal dalaman semata-mata yang China tidak akan membenarkan campur tangan asing,” kata Wang. Komen Biden kelmarin dianggap sebagai memperluaskan tafsiran ‘strategik kesamaran’ dikekalkan Washington mengenai bagaimana ia akan bertindak balas ke atas serangan di pulau tersebut.

AS sepatutnya ‘lebih berhati-hati dengan kata-kata dan tindakannya ke atas isu Taiwan dan tidak memberikan isyarat salah kepada kumpulan pemisah kemerdekaan Taiwan, agar ia tidak merosakkan teruk hubungan China-AS dan keamanan serta kestabilan di Teluk Taiwan,” kata Wang. Dalam komennya, Biden mengatakan AS tidak mahukan Perang Dingin baharu, namun melahirkan kebimbangan sama ada China akan ‘terlibat dalam aktiviti yang akan meletakkan mereka dalam kedudukan yang mungkin membawa kesilapan besar.’

“Saya hanya mahu membuat China faham bahawa kami tidak akan berundur, kami tidak akan mengubah pandangan kami,” kata Biden. Ditanya sama ada AS akan mempertahankan Taiwan jika ia diserang, beliau menjawab, “Ya, kami ada komitmen untuk berbuat demikian.” – AP

Gambar fail jet pejuang China yang diterbangkan di lokasi tidak didedahkan berhampiran Taiwan. China menekankan bahawa ia tidak akan berkompromi atau berkonsesi soal Taiwan, susulan komen oleh Presiden AS, Joe Biden. – AP