China tubuh platform kawal syarikat permainan

BEIJING, 17 SEPT – Badan pengawal selia China telah mendirikan platform yang membenarkan orang awam melapor syarikat permainan yang dipercayai melanggar sekatan yang dikenakan ke atas masa permainan dalam talian untuk kanak-kanak.

Pentadbiran Penerbitan dan Akhbar Nasional China menubuhkan platform tersebut. Ia membolehkan pemegang kad pengenalan China melaporkan pencabulan dan menunjukkan bukti, sekali gus memberikan orang awam kuasa untuk mengawal firma permainan seperti Tencent dan NetEase.

Tindakan menyusuli keputusan China untuk mengenakan had masa tiga jam seminggu untuk kanak-kanak bertujuan memerangi ketagihan permainan dalam kanak-kanak.

Syarikat permainan dijangka menguatkuasakan had 1 jam permainan dalam talian pada Jumaat, Sabtu dan Ahad di antara jam 8 dan 9 malam. Had sebelumnya membenarkan 90 minit untuk hari lain.

Platform dalam talian lain wujud di China untuk aduan pengguna atau melaporkan aktiviti dalam talian yang ‘haram’ namun jarang sekali bagi laman sedemikian untuk menumpu pada sekatan khusus dalam sesuatu industri. Ibu bapa telah menyambut baik had baharu tersebut. Sebelumnya mereka juga memuji sekatan yang melarang kanak-kanak daripada bermain dalam talian semalaman dan mengehadkan masa permainan kepada 90 minit pada hari Isnin hingga Jumaat.

Badan pengawal selia berkata syarikat permainan bertanggungjawab untuk menguatkuasakan sekatan berkenaan menerusi sistem pendaf-taran nama sebenar, yang membolehkan mereka mengehadkan masa permainan untuk kanak-kanak dan jumlah wang yang boleh dibelanjakan dalam permainan berkenaan.

Badan pengawal selia menggesa firma permainan supaya melindungi kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak pada awal bulan ini. Syarikat diarahkan supaya membersihkan isi kandungan permainan mereka dan memastikan ia bebas daripada nilai ‘salah’ seperti keganasan. – AP

Seorang kanak-kanak bermain permainan di telefon pintar di Beijing pada 12 September. Badan pengawal selia China telah menubuhkan platform yang membenarkan orang awam melapor syarikat permainan yang melanggar sekatan ke atas masa permainan dihadkan untuk kanak-kanak. – AP