China tunda misi bekalan ke stesen angkasa lepas

BEIJING, 20 MEI – China telah menunda misi bekalan ke stesen angkasa lepas baharunya hari ini atas sebab-sebab teknikal.

Kapal angkasa lepas kargo Tianzhou-2 dijangka dilancarkan awal pagi ini. Pusat Angkasa Lepas China mengumumkan penangguhan di laman webnya namun tidak berkata bila pelancaran dijadual semula akan ditetapkan.

Ia akan menjadi misi pertama ke modul utama stesen angkasa lepas Tianhe yang dilancarkan pada 29 April. Sebanyak 10 pelancaran lain telah dirancang untuk menghantar dua modul lain ke stesen, pelbagai komponen dan bekalan, serta tiga anggota kru.

Pelancaran Tianhe, atau Heavenly Harmony, dianggap satu kejayaan walaupun China dikritik kerana membenarkan kemasukan semula tanpa terkawal sebahagian daripada roket yang membawa bekalan ke angkasa lepas.

Lazimnya, peringkat roket terbuang memasuki semula atmosfera sejurus selepas dilancarkan, biasanya di atas air, dan tidak memasuki orbit.

Pentadbir NASA Senator Bill Nelson berkata pada masa itu bahawa China gagal memenuhi standard diperakui mengenai serpihan kapal angkasa.

Program angkasa lepas China telah mengalami beberapa halangan sejak ia pertama kali menghantar angkasawan ke orbit pada 2003, walaupun pelancaran ke stesen angkasa lepas ditangguhkan akibat kegagalan versi roket Long March 5B yang lebih awal.

Awal bulan ini, China juga mendarat sebuah kapal penjelajah ke Marikh dan mula menghantar kembali gambar dari permukaan planet merah itu. – AP

Gambar hitam putih yang diambil oleh kapal angkasa Zhurong dan dikeluarkan Pentadbiran Angkasa Lepas China kelmarin menunjukkan lengan tambahan dan tanjakan pelepasan digunakan di kapal pendarat di permukaan Marikh. – AP