China turun taraf hubungan diplomatik dengan Lithuania

BEIJING, 21 NOV – China secara rasminya melaksanakan penurunan taraf hubungan diplomatik dengan Lithuania sebagai satu protes, kata Kementerian Luar Negeri di Beijing hari ini, selepas Taiwan menubuhkan satu kedutaan de facto di Vilnius.

Lithuania membenarkan Taipei membuka secara rasmi pejabat kedutaannya menggunakan nama Taiwan sendiri, bertentangan dengan kempen Beijing.

China membantah mana-mana penggunaan rasmi perkataan ‘Taiwan’ supaya tiada legitimasi antarabangsa terhadap pulau yang diperintah sendiri itu namun didakwa sebagai wilayahnya dan akan dirampas pada suatu hari nanti.

“Kerajaan China terpaksa menurunkan tahap hubungan diplomatik antara kedua-dua negara… demi menjaga kedaulatannya dan norma asas

hubungan antarabangsa,” kata kementerian dalam kenyataan mengumumkan penurunan taraf kepada tahap charge d’affaies.

“Kerajaan Lithuania perlu menanggung semua akibatnya,” kata kementerian itu.

Beijing turut berkata, Lithuania sudah ‘meninggalkan komitmen hubungan diplomatik’ dengan China, dengan merujuk dasar ‘Satu China’ yang mengiktiraf kerajaan China berbanding Taiwan.

Kementerian Luar Negeri Lithuania hari ini berkata ia ‘kesal’ dengan keputusan China untuk menurunkan taraf hubungan itu.

“Lithuania menekankan semula pendiriannya kepada dasar ‘Satu China’ namun pada waktu yang sama mempunyai hak untuk mengembangkan kerjasama dengan Taiwan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan. – AFP