China tutup pusat beli-belah, kawasan perumahan

BEIJING, 11 NOV – Pihak berkuasa di Beijing hari ini menutup pusat membeli-belah besar di pusat bandar dan beberapa kawasan perumahan susulan peningkatan kes COVID-19 yang menular di seluruh negara.

Peningkatan baharu itu berlaku ketika mesyuarat tiga hari membabitkan pimpinan tertinggi Parti Komunis berakhir di ibu negara.

China melaksanakan pelbagai langkah bagi menyekat penularan COVID-19, antaranya melalui perintah berkurung secara mengejut, melakukan ujian saringan secara meluas dan sekatan perjalanan. Enam kes baharu dikesan di daerah tengah Chaoyang dan Haidian dengan semua kontak rapat individu dijangkiti baru-baru ini berada di timur laut wilayah Jilin, lapor media tempatan.

Dalam pada itu, Raffles City Mall di daerah Dongcheng, Beijing ditutup selepas kontak rapat seseorang yang menghidap COVID-19 didapati mengunjungi pusat beli-belah itu, lapor Beijing Youth Daily.

Sementara itu, empat kawasan perumahan, sebuah sekolah rendah dan perkarangan pejabat turut ditutup hari ini, dengan puluhan ribu penduduk dilarang keluar dan terpaksa menjalani ujian saringan.– AFP

Seorang pemuzik jalanan kelihatan di hadapan bangunan Raffles City Mall yang ditutup kerana COVID-19. – AFP