China tutup sempadan berhampiran Myanmar

BEIJING, 15 SEPT – China telah melaksanakan perintah berkurung ke atas sebuah bandar yang bersempadan dengan Myanmar dan melancarkan program ujian koronavirus, menurut pegawai hari ini, selepas sebilangan besar jangkitan dikesan di kawasan tersebut.

Tiga kes dikesan di bandar Ruili di bahagian barat Yunnan, sebuah kawasan menyeberang sempadan dengan negara jiran Myanmar.

Pegawai bandar tersebut berkata dalam kenyataan hari ini bahawa penduduk kawasan tersebut telah diarahkan untuk terus berada di rumah dan mereka dilarang untuk memasuki atau meninggalkan bandar sejak kelmarin.

Mereka berkata setiap penduduk telah menjalani ujian virus di Ruili, bandar yang mempunyai keramaian penduduk seramai lebih dari 210,000 orang.

Aktiviti perniagaan telah ditutup kecuali gedung membeli-belah, farmasi dan pasar makanan.

Para penduduk membuat ujian COVID-19 di Ruili di wilayah Yunnan, China. China telah melaksanakan perintah berkurung ke atas bandar yang bersempadan dengan Myanmar itu selepas mengesan jangkitan dikesan di kawasan tersebut.- AFP

Jangkitan itu dibawa masuk melalui bandar sempadan Muse, pintu utama negara Myanmar ke China yang dikenali sebagai kawasan berbahaya, menjual senjata, kasino dan dadah.

Yang Bianqiang, timbalan datuk bandar Ruili memberitahu dalam sidang media kelmarin bahawa bandar akan memulangkan individu yang tidak mengesahkan ketibaan mereka ke negara China, ‘bukan penduduk tetap dan tidak mempunyai tempat pekerjaan tetap’.

China berjaya mengawal sebahagian besar penularan wabak menerusi sekatan perjalanan dan perintah berkurung yang ketat, bermula dengan bandar tengah Wuhan di mana virus tersebut pertama kali dikesan tahun lalu.

Walau bagaimanapun, terdapat penularan setempat dalam beberapa bulan kebelakangan termasuk di ibu kota Beijing. – AFP