China ungguli individu terkaya dunia

BEIJING, 20 OKT – Individu-individu terkaya China menjana kekayaan sehingga AS$1.5 trilion pada tahun 2020, dalam lima tahun kebelakangan ini, ketika e-dagang dan permainan berkembang semasa perintah berkurung akibat penularan COVID-19, menurut senarai individu terkaya tahunan hari ini.

Lebih dari 257 orang juga turut tersenarai dalam kelab jutawan di China menjelang Ogos, selepas dua tahun senarai individu terkaya di China berkurangan, menurut Laporan Hurun.

Negara tersebut kini mempunyai sejumlah 878 individu yang mencapai kekayaan sehingga berbilion dolar. Amerika Syarikat mencatatkan 626 orang dalam kelompok teratas pada awal tahun ini, menurut Hurun dalam senarai global Februari.

Laporan itu mendapati bahawa terdapat sekitar 2,000 individu dengan nilai bersih lebih AS$300 juta pada bulan Ogos, yang secara keseluruhan jika digabungkan menjana nilai bersih sehingga AS$4 trilion.

Jack Ma, pengasas syarikat gergasi e-dagang Alibaba, sekali lagi mendahului senarai tersebut selepas kekayaannya melonjak 45 peratus kepada AS$58.8 bilion ketika syarikat membeli-belah dalam talian melihat lonjakan perniagaan berikutan dengan perintah berkurung di dalam rumah selama berbulan-bulan bagi mengatasi penularan koronavirus.

Senarai berkenaan diikuti oleh Pony Ma (AS$57.4 bilion), bos gergasi permainan dan pemilik WeChat, Tencent yang membuat 50 peratus tambahan walaupun terdapat kebimbangan mengenai ancaman daripada syarikatnya di AS berikutan isu keselamatan negara.

Untuk pertama kalinya, Zhong Shanshan, 66, yang terkenal dengan jenama air botol Nongfu, berjaya menduduki tempat ketiga dengan menjana kekayaan AS$53.7 bilion. – AFP

Gambar fail pada 5 Februari 2020 menunjukkan seorang wanita bersenam di depan bangunan ibu pejabat Alibaba di Hangzhou, China. Jack Ma, pengasas Alibaba, sekali lagi mendahului senarai individu terkaya selepas menjana pendapatan sehingga AS$58.8 bilion. – AFP