CHMS KB bangunkan dewan seni baharu

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 4 JUN – Sebagai pelaburan berterusan dalam membantu membangunkan lagi kemahiran para pelajarnya, Sekolah Menengah Chung Hua (CHMS), Kuala Belait membina Dewan Pembelajaran Seni Multimedia baharu dengan upacara pecah tanah telah diadakan baru-baru ini.

Diadakan di premis sekolah berkenaan, majlis menyaksikan kehadiran beberapa orang ahli lembaga pengarah sekolah termasuk Pengerusi, Lau Shiew Yuen; Pengerusi Eksekutif, Tan Yong Kui; Naib Pengerusi Pertama, Yang Chow Min; Naib Pengerusi Kedua, Francis Kwong Beng Hock; Penyelia, Yap Sin Fah dan Timbalan Penyelia, Lee Yin Fah.

Turut hadir ialah pengetua baharu sekolah berkenaan, Dr Chong Kui Kian yang turut dialu-alukan dalam majlis berasingan selepas pelantikannya pada 1 Mei lalu.

Dengan upacara pecah tanah berkenaan, pihak sekolah bermatlamat untuk memulakan penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan dengan niat untuk menyediakan persekitaran pembelajaran terbaik bagi pelajar mereka selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

Di samping itu, ia juga selaras dengan strategi sekolah dalam menyediakan infrastruktur dan kemudahan moden dan terkini, memeduli pelajar dan kakitangan serta kepimpinan
sekolah yang kukuh dengan pasukan guru dan kakitangan yang cekap dan bermotivasi tinggi dalam membantu mencapai matlamat sekolah.

Selepas upacara pecah tanah berkenaan, satu majlis berasingan juga telah diadakan bagi mengalu-alukan Dr Chong Kui Kian yang akan bekerjasama rapat dengan bekas pengetua, Jaime Lim Siew Lee yang kini menjadi timbalan pengetua.

Dengan pelbagai pengalaman dalam pengajaran dan mengetuai jabatan di sekolah-sekolah kerajaan selama 26 tahun di Kementerian Pendidikan, CHMS menyatakan rasa penghormatan untuk menerima Dr Chong ke sekolah tersebut.

Gambar ramai ahli-ahli lembaga pengarah sekolah bersama pengetua CHMS KB yang baru dilantik di tapak Dewan Pembelajaran Seni Multimedia baharu. – Gambar serahan CHMS KB