CHMS KB komited kawal penularan COVID-19

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 13 OGOS – Berikutan penularan pandemik COVID-19 di seluruh negara, Sekolah Menengah Chung Hua, Kuala Belait (CHMS KB) telah meneruskan usaha dan komited untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam mengawal wabak dan telah mengambil langkah-langkah untuk mensanitasi seluruh premis sekolah serta mematuhi sepenuhnya garis panduan yang ditetapkan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh sekolah di laman Facebook semalam, mengatakan, “CHMS KB kini menghadapi masa amat sukar dengan wabak COVID-19. Kakitangan, pelajar dan ahli keluarga mereka semua terjejas. Kami, pengetua sekolah, pihak pengurusan kanan serta lembaga gabenor ingin menyampaikan rasa simpati kepada semua yang terjejas dan berharap semua yang terbabit agar segera sembuh.”

Selain itu, sekolah juga mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa dan penjaga serta pelajar kerana memberikan sokongan dan kerjasama penuh pada masa sukar ini.

“Bersama kita akan memenangi pandemik ini dan kita akan berjumpa anda semua semula apabila kita kembali lebih kuat dan lebih baik!”

Sekolah itu turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan atas sokongan dan bimbingan yang diberikan dalam mengendalikan ujian swab dan mengasingkan mereka yang terjejas.

Sebahagian daripada premis Sekolah Menengah Chung Hua Kuala Belait disemburkan dengan disinfektan untuk mengawal wabak COVID-19. – Gambar serahan CHMS KB