Chong Wei buru emas Olimpik 2020

GOLD COAST, 15 April – Pemain badminton Malaysia, Lee Chong Wei berkata dia berharap untuk memperolehi satu lagi gelaran Olimpik selepas menamatkan kempen Sukan Komanwel dengan merangkul emas perseorangan hari ini.

Pemain berusia 35 tahun itu bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan pemain nombor satu dunia yang baharu dari India, Kidambi Srikanth dengan keputusan 19-21, 21-14, 21-14 selepas Saina Nehwal menewaskan rakan senegaranya P.V. Sindhu dalam perseorangan wanita peringkat akhir.

Chong Wei menghampiri penamat karier badminton namun belum memperolehi pingat emas Olimpik tetapi dia berharap untuk melakukannya di Tokyo pada 2020 nanti.

Dia menambah, dia tidak akan beraksi untuk Komanwel akan datang dan apabila ditanya oleh AFP jika memburu pingat emas pada 2020, Chong Wei membalas: “Saya tidak tahu, tahun demi tahun saya akan beraksi kerana sekarang takut dengan kecederaan.

Lee Chong Wei bergambar bersama pingat emasnya ketika berada di atas podium di Gold Coast kelmarin. – AFP

“Selepas tahun ini tamat, saya akan melihat tahun seterusnya dan jika saya kekal cergas, saya akan beraksi di Tokyo pada 2020. Jika tidak, saya rasa saya akan berhenti.”

Selepas mengatasi masalah kecederaan belakang dan tangannya, dia berjaya merangkul Komanwel ketiga termasuk tiga pingat emas Olimpik.

Tetapi dia menjangka masa depan yang cerah bagi Srikanth yang baharu sahaja mencapai kedudukan tertinggi pada Khamis lalu dan menewaskan Chong Wei dalam berpasukan campuran peringkat akhir untuk mengutip emas buat India. – AFP