Tuesday, October 8, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chong Wei sanggup bayar denda

    KUALA LUMPUR, 18 Jan – Jaguh perseorangan Malaysia, Datuk Lee Chong Wei sanggup membayar denda kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk tidak menyertai beberapa kejohanan yang ditetapkan kerana mengambil faktor usia dan ketahanan fizikalnya.

    Pemain nombor dua dunia itu berkata tumpuannya adalah kepada kejohanan yang mempunyai standard lebih tinggi termasuk persiapan rapi untuk Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel, Piala Thomas, Sukan Asia serta All England pada tahun ini.

    Berdasarkan peraturan baharu BWF, semua pemain yang berada dalam kelompok 15 terbaik dunia diwajibkan menyertai 12 kejohanan setahun iaitu tiga kejohanan tahap dua, lima kejohanan tahap tiga dan empat kejohanan tahap empat.

    “Saya akan berbincang dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika perlu bayar denda, saya sanggup bayar. Usia saya bukan 25 tetapi 35 tahun ini. Sepatutnya ketika ini saya dan beberapa pemain lain berehat dan membuat persiapan All England pada Mac ini. BWF telah keluarkan peraturan sebegini, kami pemain perlu akur,” katanya selepas perlawanan semalam.

    Chong Wei beraksi menentang Kenta Nishimoto dari Jepun pada Kejohanan Perodu Malaysia Masters 2018, kelmarin. – Bernama

    Ekoran peraturan baharu itu, kebanyakan pemain terkemuka dunia tersingkir awal daripada saingan Perodua Masters Malaysia yang sedang berlangsung minggu ini di Arena Axiata, Bandaraya Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.

    Chong Wei yang turut tewas pada perlawanan pembukaan itu berkata rata-rata pemain tidak dapat memberikan permainan yang baik kerana masing-masing mempunyai jadual kejohanan yang padat.

    Dua jaguh badminton dunia, Chen Long dan Lin Dan serta Son Wan Ho dari Korea Selatan antara pemain terkemuka dunia yang turut terkeluar daripada saingan pusingan pertama.

    Bekas juara dunia lima kali, Lin Dan turut menyuarakan perkara yang sama berkata semua pemain terkemuka dunia akan memberi tumpuan kepada kejohanan yang lebih tinggi dan secara realistiknya tiada pemain dapat mengekalkan prestasi cemerlang dalam semua kejohanan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda