Chopra lakar sejarah emas olahraga pertama India

TOKYO, 8 OGOS – Neeraj Chopra memenangi pingat emas acara merejam lembing lelaki, hari ini, sekali gus menyumbang emas pertama India bagi olahraga dalam sejarah Sukan Olimpik.

Chopra, 23, menang dengan catatan 87.58 meter (m) dan mengatasi pencapaian terbaik India sebelum ini selepas menang pingat perak acara 200m dan 200m lompat berpagar menerusi atlet British-India, Norman Pritchard di Olimpik Paris 1900.

Bagaimanapun, dua atlet Republik Czech mendominasi podium di Stadium Olimpik Tokyo apabila Jakub Vadlejch menang pingat perak dengan catatan 86.67m dan Vitezslav Vesely memenangi pingat gangsa dengan 85.44m.

Muzik Bollywood mula bergema di stadium selepas Chopra melakukan rejaman keenam dan terakhir, selepas dia mengesahkan emas menjadi miliknya.

Anak petani itu kemudian berlari di padang dengan bendera India di bahunya.

Chopra datang ke Tokyo 2020 dengan rejaman keempat terbaiknya pada tahun ini dan meneruskan prestasi cemerlang mengatasi atlet Jerman, Johannes Vetter yang gagal mara dalam kelompok lapan terbaik.

Vetter yang berjaya membuat tujuh rejaman lebih 90m antara April dan Jun tahun ini termasuk pencapaian terbaik 96.29m, sekadar menduduki tempat kesembilan.

“Ini adalah pertandingan yang sukar,” kata atlet berusia 28 tahun itu, sambil mengeluh bahawa dia menghadapi masalah untuk melakukan lontaran di permukaan. – AFP

Pemenang pingat emas Neeraj Chopra dari India bagi acara rejam lembing lelaki di Olimpik Tokyo, semalam. – AP