Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Chun In-gee juara PGA Wanita

    BETHESDA, AMERIKA SYARIKAT, 27 JUN – Chun In-gee berjaya merangkul kejohanan utama ketiganya dalam perlawanan kelmarin, menjuarai Kejohanan PGA Wanita untuk meraih gelaran pertamanya sejak 2016 dan menamatkan kemarau kejuaraan selama hampir empat tahun.

    Pemain berusia 27 tahun dari Korea Selatan itu membenam tiga-bawah-par 75 dalam keadaan berangin di Congressional Country Club di Bethesda, Maryland, untuk menamatkan kejohanan 72-lubang dengan mencatat lima-bawah-par 283.

    Satu pukulan kemenangan sudah memadai untuk menewaskan pemain dari Amerika Syarikat (AS), Lexi Thompson dan Minjee Lee dari Australia untuk membawa pulang hadiah utama berjumlah AS$1.35 juta daripada hadiah wang tunai ditawarkan AS$9 juta.

    “Ia adalah sesuatu yang bermakna kerana saya belum memenangi perlawanan setelah hampir tiga setengah tahun,” kata Chun penuh beremosi. “Semua penyokong setia saya di Korea Selatan, mereka tidak pernah berputus asa dengan apa pun yang saya lakukan,” katanya lagi.

    Chun, menduduki ranking ke-33, mengalami kemarau kejuaraan sejak Oktober 2018 di Kejohanan Hana Bank, Korea Selatan.

    Namun, selepas mempertaruhkan tiga pukulan pendahuluan semenjak bermulanya kejohanan tersebut, Chun berjaya menambah trofi kejohanan utama ketiganya selepas menjuarai Terbuka Wanita AS 2015 dan Kejohanan Evian 2016. Dalam perlawanan tersebut, Chun berjaya menguasai dua pusingan awal dan mendahului dengan tujuh pukulan sebelum mengalami kesukaran untuk membuat 75 pukulan setiap dua pusingan terakhir ketika pemain ranking keenam, Thompson berusaha merapatkan jurang kedudukan.

    Walau bagaimanapun, Thompson, gagal menamatkan kemarau kejuaraan selama lapan tahun sejak meraih trofi kejohanan Kraft Nabisco 2014 pada usia 19 tahun atau kemarau tiga tahun berturut-turut secara keseluruhan.

    Pemain AS itu terpaksa berpuas hati dengan kedudukan lima teratas ke-11nya sejak meraih kejohanan utama pertamanya dan naib juara empat kali.

    Sementara itu, Thompson berkongsi pendahuluan dengan Chun di par-empat lubang ke-17, membuat tiga pukulan bogey untuk memberikan pemain bintang Asia itu pendahuluan satu pukulan ketika berada pada kemuncak perlawanan lubang ke-72 pada minggu ini. – AFP

    Chun In-gee meraikan kemenangannya sambil menjulang trofi Kejohanan PGA Wanita KPMG di Congressional Country Club, Bethesda, Maryland. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...