LAUSANNE, 25 April – Jutawan Korea Selatan Chung Mong-Joon telah membuat rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang berpangkalan di Switzerland berhubung larangan lima tahun yang dikenakan oleh FIFA, CAS mengumumkan pada Isnin.
“Dalam rayuannya kepada CAS, Dr Chung berusaha membatalkan keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA di mana beliau digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa selama lima tahun,” kata CAS.
Chung, bekas naib presiden FIFA, calon presiden dan pewaris keluarga Hyundai, telah diharamkan oleh jawatankuasa etika FIFA kerana melanggar peraturan melobi bidaan untuk Piala Dunia 2018 dan 2022.
Pada 2015, jawatankuasa etika mengenakan Chung pengharaman enam tahun sebelum jawatankuasa rayuan mengurangkannya kepada lima tahun Julai lalu dan dendanya dari 100,000 juga dikurangkan kepada 50,000 francs Switzerland kerana bukti pendakwaan tidak mencukupi.
Chung mendakwa FIFA telah mengaku gagal mencari bukti untuk dakwaan ‘menjual undi’ dan ‘memberikan penampilan menawarkan manfaat’ dan sepatutnya menggugurkan kes terhadap beliau. – AFP