GUIYANG, 26 MEI – Ekspo Industri Data Raya Antarabangsa China (CIBDIE) 2021 dirasmikan di Guiyang, wilayah Guizhou di barat daya China hari ini.
Ekspo peringkat kebangsaan pertama di dunia itu menumpukan kaedah baharu penggunaan data raya menggunakan teknologi 5G dan mengetengahkan trend baharu kecerdasan buatan, internet industri, maklumat kuantum serta rantaian blok.
Laporan Pembangunan Ekonomi Digital China 2020 menunjukkan agregat ekonomi digital negara ini melonjak ke tangga kedua dalam ranking dunia dengan nilai tambah industri teras dalam ekonomi digital menyumbang 7.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Sementara itu, perkembangan teknologi baharu, kewujudan format dan platform baharu meliputi teknologi 5G, kecerdasan buatan dan bandar pintar serta perkembangan ekonomi tanpa sentuh melibatkan pembelian, pendidikan dan perubatan dalam talian berikutan penularan pandemik COVID-19 menyebabkan ekonomi digital menjadi penyumbang baharu kepada pembangunan ekonomi negara ini.
Dalam perkembangan lain, hasil yang dicapai dalam pembangunan ‘China Digital’ juga dikongsi negara dan wilayah yang terlibat pembangunan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Perkongsian itu membabitkan projek seperti sistem lesen memandu melibatkan 50 juta orang di Indonesia, menyokong perkembangan sektor pertanian dengan data raya di Mozambique dan mewujudkan bilik darjah pintar di Mesir. – Bernama/Xinhua
