CIBFM, AMBD anjur acara keusahawanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) dengan sokongan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), baru-baru ini, telah menganjurkan acara ‘Insight into Islamic Finance and Entrepreneurship: So You Want to Start a Business?’.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan CIBFM, acara yang diadakan di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi pada 16 Julai lalu itu berobjektif untuk membantu individu-individu yang sedang mencari pekerjaan dan peserta yang bercita-cita untuk menjadi usahawan, dengan menyediakan ilmu pengetahuan yang penting serta berguna mengenai cara-cara untuk mendirikan perniagaan maju daripada mereka yang sudah berjaya dalam bidang tersebut.

Hadir sebagai tetamu kehormat pada acara itu ialah Pemangku Penolong Pengarah Urusan AMBD, Hajah Sufinah binti Haji Sahat selaku pemangku ketua pegawai eksekutif CIBFM.

Ahli-ahli panel yang dijemput hadir terdiri daripada usahawan-usahawan muda tempatan yang berpengalaman dan juga pegawai dari Bank Usahawan iaitu Pegawai dan Setiausaha, Lembaga Penasihat Syariah, Bank Usahawan Berhad, Haji Muhd Najib bin Haji Awang Damit; pengasas Sparkly Domestic Divas, Dayang Santy binti Allim; Pengarah Kreatif Covered by AnNisa, Dayang Hanii binti Masir dan pemilik Harum Kindana Catering, Dayang Salmiah binti Haji Tarang yang merupakan pemenang Anugerah Cemerlang Propaz.

Perbincangan panel tersebut dipengerusikan oleh pengasas MuBn Learning & Growth Group, Dr Hajah Mona Yati binti Dato Seri Laila Jasa Haji Mohd Kassim.

Kenyataan menyatakan, semasa perbincangan, ahli-ahli panel telah berpeluang untuk mengongsikan kisah perjalanan usahawan mereka serta cabaran-cabaran yang telah diharungi dan diikuti dengan sesi soal jawab

Dalam kenyataan itu, CIBFM turut memberitahu bahawa ‘Insight into Islamic Finance and Entrepreneurship: So You Want to Start a Business?’ yang kedua pada tahun ini dicadangkan untuk diadakan pada Oktober depan.

Antara ahli-ahli panel yang hadir pada acara yang dianjurkan.